Monday, October 13, 2008

Menghibahkan Harta Semasa Hidup

Seseorang Islam boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapapun semasa
hidupnya, sebahagian atau keseluruhan hartanya. Ini boleh berlaku kepada mereka
yang tidak mempunyai anak kandung yang tidak mahu hartanya berpindah secara
faraid kepada saudara-saudaranya yang lain. Hibah boleh dibuat dengan
menukarkan nama ke dalam geran tanah/rumah/kereta.
Hibah pada istilah syarak ialah suatu aqad yang mengandungi pemberian milik
oleh seorang terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya
tanpa balasan('iwad).
Dari segi istilah, hibah adalah berbeza dengan pemberian(gift) dalam undangundang
Inggeris, di mana perkataan "pemberian" itu adalah lebih luas
pengertiannya jika dibandingkan dengan hibah, di mana istilah"pemberian" itu
lebih umum dan merangkumi semua jenis pindak milik. Manakala pengertian
hibah adalah sempit dan mempunyai konsep undang-undang yang khusus.
Dalam Islam, hibah sudah sah dengan adanya ijab dan qabul dengan perkataan
yang memberi erti memberi milik harta tanpa balasan.Mengikut mazhab Shafie,
bahawa penerimaan (qabul) itu hendaklah diambil kira dalam menentukan sah
atau tidaknya hibah. Begitu juga, penerimaan barang adalah satu dari syarat sah
hibah. Ertinya, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum
penyerahan barang, maka hibah itu terbatal.
Hukum syarak juga menjelaskan sesuatu hibah yang telah diberi tidak boleh
ditarik balik dan hukumnya adalah haram, sekalipun antara saudara mara atau
suami isteri, kecuali hibah oleh bapa kepada anaknya, boleh ditarik balik.

Hibah Menurut Pandangan Islam

Definisi hibah. Hibah ialah pemberian secara sukarela dari pemberi hibah kepada penerima hibah yang dibuat atas dasar kasih sayang tanpa menerima sebarang bentuk balasan.


Harta yang boleh dihibah. Semua jenis harta yang di atas nama pemilik boleh dihibahkan seperti hartanah (rumah, tanah, kondominium, apartment dsb ) , saham syarikat ( sama ada sdn bhd atau berhad ) dan saham unit amanah ( BIMB Unit Trust sahaja )


Tujuan hibah dibuat. Bagi orang Islam, hibah ialah satu instrumen yang paling tepat sekiranya pemilik ingin memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya. Contohnya, jika seorang ayah ingin anak angkatnya memiliki rumahnya selepas dia meninggal dunia kelak, dia perlu membuat dokumen hibah yang mengisytiharkan bahawa dia menghibahkan rumah tersebut kepada anak angkatnya

Kesan hibah. Semua harta yang telah dihibah akan terkeluar dari harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikuh Hukum Faraid. Ini bermakna hasrat pemberi hibah untuk memberikan sesuatu harta itu kepada sesiapa yang menerima hibah tersebut akan tercapai.


Siapa yang perlu buat hibah. Sesiapa sahaja yang berniat untuk mewariskan sesuatu hartanya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Contohnya, suami ingin menghibahkan rumah kepada isterinya, ibu atau bapa angkat ingin menghibah rumahnya kepada anak angkat, datuk atau nenek ingin menghibahkan kepada cucunya dan sebagainya. Pendek kata kita boleh menghibahkan apa sahaja harta kita kepada sesiapa sahaja yang kita ingini sama ada waris atau bukan waris kita.

Konsep Hibah dan senarionya

Hibah, wasiat boleh beri kepada waris

Soalan:SAYA mempunyai persoalan tentang harta peninggalan wanita bujang. Saya ditinggalkan oleh ayah sejak kecil tanpa nafkah. Emak sayalah yang membesarkan saya.
Saya merupakan anak tunggal. Mengikut hukum faraid, sekiranya saya meninggal, sebahagian besar harta peninggalan saya akan diwarisi oleh ayah dan adik-beradik tiri saya (berlainan emak).

Saya merasakan ayah saya tidak berhak langsung mendapat harta saya kerana dia telah mengabaikan kami sekeluarga. Tidak adil rasanya jika dia yang selama ini tidak menghiraukan kami sekeluarga tiba-tiba mendapat bahagian daripada harta yang saya kumpulkan selama ini, tanpa bantuannya. Saya mahukan harta peninggalan saya digunakan untuk menjaga kebajikan ibu saya dan anak angkat saya. Bagaimana boleh saya tinggalkan harta saya kepada mereka setelah ketiadaan saya?

Jawapan:
Seperti yang saudari sedia maklum, Islam telah menetapkan prinsip-prinsip pengagihan harta si mati, yang secara lazimnya dikenali sebagai hukum faraid. Prinsip-prinsip am hukum faraid terkandung dalam al-Quran, Surah al-Nisa, ayat 11-14.

Namun, faraid bukanlah satu-satunya cara pembahagian harta dalam Islam. Kami di Sisters In Islam memahami kehendak saudari yang ingin memastikan kebajikan dan kepentingan orang-orang tersayang dilindungi apabila saudari tiada nanti.
Surah al-Nisa ayat 11 telah menyatakan bahawa "…pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya…"

Seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, tetapi wasiat tersebut mestilah mematuhi syarat-syarat berikut:
i. tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pemberi wasiat;
ii. penerima wasiat mestilah seorang yang tidak disenaraikan sebagai waris dalam hukum faraid - syarat kedua ini adalah hukum mengikut mazhab Sunni.
Bagaimanapun, kebanyakan ulama Sunni juga berpendapat bahawa wasiat kepada salah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid (misalannya, dalam kes saudari ini, ibu saudari) masih sah sekiranya waris-waris lain setuju dengan isi kandungan wasiat selepas kematian pemberi wasiat.

Namun demikian, masalah mungkin timbul apabila salah seorang waris yang sah tidak bersetuju dengan wasiat tersebut. Apabila ini berlaku, mahkamah akan merujuk kepada hukum faraid.
Dalam kes saudari, anak angkat bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Jadi, saudari bolehlah mewasiatkan kepadanya tidak melebihi satu pertiga (1/3) nilai jumlah keseluruhan harta saudari. Waris-waris yang sah tidak boleh mempertikaikan wasiat ini kerana cukup syarat-syaratnya.

Ibu saudari pula merupakan seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Sekiranya seseorang Islam itu meninggal dunia, maka ibu si mati hanya berhak menuntut harta benda si mati mengikut perkiraan hukum faraid. Sekiranya si mati meninggalkan hanya ibu dan ayahnya dan tidak ada anak, maka, secara amnya, ibu akan berhak mendapat satu pertiga (1/3) dan ayah akan berhak mendapat dua pertiga (2/3) daripada harta si mati.

Di negara kita ini, nisbah pembahagian harta pusaka menurut faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah Syariah melalui suatu sijil faraid bagi setiap kes. Sekiranya si mati telah meninggalkan wasiat, maka pembahagian harta pusaka kepada ayah dan ibu akan dilakukan selepas wasiat disempurnakan.

Hukum faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya, telah memindahkan harta kepada orang lain. Jadi, dalam keadaan sekarang ini, saudari bolehlah mempertimbangkan untuk memindahkan harta tertentu kepada ibu atau anak angkat semasa hayat saudari masih ada (sekiranya saudari ingin memberi wasiat kepada anak angkat). Melalui proses ini, waris-waris yang lain tidak akan berhak kepada harta pusaka saudari kelak.

Konsep ini diberi nama hibah atau terjemahannya hadiah. Apa yang penting ialah saudari perlu memindahkan harta yang ingin diberi kepada ibu dan anak angkat semasa saudari masih hidup. Hibah itu juga mestilah diterima oleh penerima. Jika penerima tidak tahu bahawa ia telah dihibahkan sesuatu benda, maka hibah tersebut mungkin tidak sah.

Proses pemindahan harta ini bolehlah dilakukan dalam beberapa cara. Misalannya, jika saudari memiliki rumah atau tanah, saudari boleh memindahkan rumah atau tanah tersebut kepada nama ibu atau anak angkat menerusi prosedur pindah milik di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Hibah vs Wasiat untuk orang Islam.

Hibah vs Wasiat untuk orang Islam.

* Fungsi wasiat Islam. Fungsi utama di sini ialah untuk pengurusan harta pusaka. Perlantikan wasi dan penyenaraian tugas-tugasnya akan menentukan sesuatu harta pusaka itu dapat diurus dengan cepat dan seterusnya diwariskan kepada semua waris mengikut Hukum Faraid.


* Fungsi hibah. Fungsi utamanya ialah untuk menentukan bahawa waris-waris tertentu mewarisi harta-harta tertentu seperti yang diingini oleh pemilik harta. Dokumen hibah sangat efektif dalam menentukan waris mana mendapat harta yang mana.

APA ITU HIBAH

PENGERTIAN HIBAH

Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.



DALIL MENGHARUSKAN HIBAH

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 177:

Dan memberi seseorang akan harta yang dikasihinya kepada keluarga terdekat, anak-anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang yang berhajat dan hamba.

Hadis riwayat Ahmad, Sabda Rasulullah saw:

Berilah hadiah (hibah), nescaya kamu dikasihi.



SIFAT DAN CIRI-CIRI HIBAH

Hibah tidak boleh ditarik balik kecuali pemberian bapa kepada anaknya atau daripada datuk kepada cucunya.



RUKUN HIBAH

1.

Pemberi hibah (wahib)
2.

Penerima hibah (mauhub-lahu)
3.

Harta yang dihibahkan (mauhub)
4.

Sighah kontrak (penawaran dan persetujuan)